ALOR SETAR – Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank beberapa syarikat yang didakwa memiliki butiran palsu bagi memasuki tender pembersihan pada tahun 2018 dan 2019.
Kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 68 tahun itu direman tiga hingga lima hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Setar, Siti Norhidayah Mohd. Noor.
Menurut sumber, penyata akaun bank berkenaan dipercayai digunakan bagi membolehkan syarikat-syarikat terlibat memasuki tender penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.
Katanya, kesemua mereka merupakan antara 21 individu yang ditahan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini pada semalam.
“Seramai 15 individu direman manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE