PETALING JAYA – Teknologi sememangnya diakui mampu memberi 1,001 kelebihan namun tanpa disedari, teknologi juga boleh mengundang bahaya sehingga memberi risko kepada penggunanya.
Bagi selebriti versatil, Nabila Huda, dia turut mengakui hal sama apabila berpendapat penggunaan alat penunjuk arah popular seperti Waze dan Googlemap sehingga melalaikan pemandu boleh menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.
“Sebenarnya penggunaan Waze dan Googlemap pun bahaya sebab kita kadang-kadang fokus tak mahu tersilap belok atau salah jalan sehingga lupa perkara asas seperti melihat cermin belakang dan jika semua okey, barulah masuk simpang.
“Kemudian apabila Waze beri arahan secara tiba-tiba, kau pun terus belok tanpa fikir apa yang ada di kiri dan kanan,” katanya menerusi beberapa ciapan baru-baru ini.
Nasihat tersebut tercetus gara-gara hatinya terusik selepas menonton video kes kemalangan jalan raya melibatkan sebuah keluarga baru-baru ini dan turut menasihatkan agar pemandu kenderaan, khususnya kereta tidak leka dengan perkara lain ketika memandu sehingga membahayakan nyawa individu lain.
Pengacara Melodi itu menyarankan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi sekiranya tidak mampu menjadi seorang pemandu yang ‘serba-boleh’ ketika memandu.
“Jika belum mampu memandu kereta sambil melakukan pelbagai tugas, naik sahaja teksi kerana pemandu perlu sentiasa peka sepanjang berada di atas jalan raya,” katanya lagi.
Kata pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi, 37, itu lagi, sebagai pengguna jalan raya, dia mengakui kerap memerhatikan segelintir pemandu kenderaan yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Apabila saya melihat video kemalangan tersebut, terus teringat dengan situasi yang pernah dan selalu saya lihat setiap kali memandu.
“Pengalaman tersebut bukan daripada saya tetapi hasil pemerhatian terhadap sesetangah pemandu yang mengambil ringan perkara ini iaitu memandu sambil menaip mesej di telefon bimbit. Tolong berhenti melakukannya dan fokus dengan pemanduan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pelakon filem M4M4 itu turut menasihatkan sekiranya seorang pemandu tidak bijak menguruskan situasi ketika pemanduan, elakkan menjadi seorang pemandu’serba-boleh’.
“Layanlah muzik atau menyanyi kuat-kuat selain daripada bermain telefon bimbit.
“Ya, faham, kadang-kadang ada perkara yang mustahak tetapi jika belum mahir nak jadi seorang ‘serba-boleh’ ketika memandu, hentikanlah dan selesaikan semuanya sebelum memandu,” tutur anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search.
Selain itu, bekas pengacara Melodi itu, dia turut mengakui membenci terhadap segelintir pemandu yang tidak mempunyai sikap timbang rasa terhadap oramg lain.
Tuturnya, perasaan tersebut tercetus disebabkan sering berhadapan dengan pemandu yang enggan mengalah ketika berada di mana-mana persimpangan jalan.
“Lagi satu paling saya benci ialah pemandu yang dah nampak kereta banyak nak belok, dia berkeras nak jalan juga.
“Enggan beri orang lain lalu. Berapa saat saja kau tunggu, berilah orang lain lalu, mengalah,” tuturnya lagi. – K! ONLINE