MANCHESTER – Manchester United dilaporkan mendahului perlumbaan untuk mendapatkan pemain Lazio, Sergej Milinkovic-Savic pada jendela perpindahan bulan ini.
The Red Devils sejak sekian lama dikaitkan dengan pemain antarabangsa Serbia ini, namun kali ini mereka dilaporkan sudah memberikan isyarat yang lebih jelas untuk membawanya ke Old Trafford.
Akhbar di Itali melaporkan Lazio menilai Milinkovic-Savic dengan nilai sebanyak £58 juta (RM331.88 juta), namun kelibatnya dikatakan turut dijejaki oleh Juventus.
Namun, United dikatakan sedang mendahului usaha untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut selepas rundingan bersama ejennya, Mateja Kezman dilakukan.
Biarpun masih belum mengemukakan sebarang tawaran sehingga kini, namun United dikatakan memiliki peluang besar apabila harga yang diinginkan oleh Lazio itu terlalu tinggi dan tidak mampu untuk ditunaikan oleh Juventus yang berhadapan penstrukturan kewangan kelab.
Kezman dan pemilik Lazio, Claudio Lotito dikatakan sudah mencapai persetujuan yang tidak formal berhubung penjualan Milinkovic-Savic ke United biarpun pemain itu masih mempunyai kontrak selama dua tahun setengah.
United terdesak untuk mendapatkan pemain tengah bagi menggantikan Paul Pogba yang masih bermain tarik tali mengenai masa depannya bersama kelab berkenaan.
Milinkovic-Savic menjaringkan 44 gol dan 37 umpanan gol dalam 213 penampilannya di Serie A bersama Lazio dan muncul antara pemain tengah terbaik di Itali sejak 2015. – AGENSI