KUALA KRAI – Kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris di sini kembali ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong hari ini dengan menaiki kereta api selepas hasrat mereka tertangguh apabila perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu tidak singgah di Hentian Kuala Gris di sini semalam.
Rata-rata pelajar di kampung itu teruja menaiki kereta api untuk kembali semula ke SMK Dabong bagi mengikuti pengajian secara bersemuka selepas Kelantan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 4 Januari lalu.
Seorang pelajar, Fatin Syakila Rosdi,16, mengakui kecewa tidak dapat ke sekolah semalam.
Katanya, kereta api yang tidak berhenti semalam menyebabkan dia sukar untuk ke sekolah kerana jarak yang agak jauh selain keluarganya tiada kenderaan.
“Alhamdulillah, pagi ini saya dapat kembali semula ke sekolah untuk pengajian secara bersemuka,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nur Shaza Qistina Saberi, 15, mengakui teruja dapat ke sekolah menggunakan perkhidmatan tren tersebut yang merupakan pengangkutan utama dia dan rakan-rakan untuk ke sekolah.
Menurutnya, dia akan terus setia menggunakan perkhidmatan tersebut yang mula digunakan untuk ke SMK Dabong ketika belajar di tingkatan satu.
“Saya bernasib baik apabila ada kawan yang keluarganya mempunyai kenderaan mengajak untuk ke sekolah semalam.
“Saya dan kawan-kawan tiba pada pukul 8 pagi. Meskipun agak lewat, namun guru memahami masalah yang kami hadapi itu,” katanya.
Tinjauan di Hentian Kuala Gris hari ini mendapati, kereta api yang berlepas dari Tumpat itu tiba di hentian berkenaan pada pukul 7.07 pagi.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha dan Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya turut turun padang meninjau operasi perkhidmatan kereta api dan beramah mesra dengan pelajar terlibat.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, kira-kira 100 pelajar SMK Dabong terpaksa ponteng sekolah selepas kereta api yang menjadi pengangkutan utama mereka tidak berhenti di hentian Kuala Gris di sini semalam.
Mengikut jadual, kereta api itu sepatutnya berhenti di stesen Kuala Gris pada pukul 6.59 pagi dan tiba di Dabong kira-kira 20 minit, namun pemandu tren tidak berbuat demikian. – K! ONLINE