MELAKA – Padah tayang kereta, 26 individu terpaksa membatalkan hasrat melancong di negeri ini apabila kesemua kenderaan itu disita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kesemua kenderaan itu ditahan dalam tiga operasi berasingan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik dan di bawah akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, hasil pemeriksaan sebanyak 55 saman bernilai kira-kira RM11,300 telah dikeluarkan membabitkan 26 buah kereta yang telah disita di IPK Melaka.
“Kita telah mengadakan beberapa operasi berasingan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak 8 Disember lalu dan hasil serbuan sebanyak 26 buah kereta ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dan JPJ.
“Pihak polis telah mengeluarkan 30 saman ke atas pemilik kenderaan terbabit, manakala 25 lagi dikeluarkan JPJ,” katanya pada sidang akhbar di IPK di sini, hari ini.
Tambahnya, kesalahan dilakukan termasuklah mengubahsuai di enjin, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dan ekzos bising.
Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang ditahan merupakan pelancong luar termasuk dari Terengganu, Perak, Kedah, Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Johor.
“Semasa penahanan dibuat ada di antara mereka ini datang melancong bersama ahli keluarga termasuk membawa isteri dan anak-anak selebihnya konvoi bersama rakan-rakan.
“Satu kumpulan kereta jenis Proton Satria turut ditahan ketika menginap di sebuah rumah inap desa di Sungai Putat, di sini,” katanya.