PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput seperti ditularkan dalam media sosial.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati sesetengah dakwaan tidak dapat disiasat sewajarnya kerana maklumat lokasi serta tarikh kejadian beserta maklumat produk terlibat tidak dinyatakan.
Katanya, KKM memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menggunakan Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada di fasiliti terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV. Penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pihak pengilang.
“Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu. Vaksin Covid-19 telah dibangunkan dalam jangka masa singkat iaitu kurang dari dua tahun sebagai tindak balas kepada wabak tersebut. Ia berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal sekali gus tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norhaliza berkata, pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.
Katanya, jika pihak pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai. – K! ONLINE