JAKARTA – Selepas dua minggu menimang cahaya mata sulung, pasangan selebriti terkenal Indonesia Rizky Billar dan Lesti Kejora akhirnya mendedahkan wajah dan nama anak lelaki mereka yang digelar Baby L.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi sebuah rancangan khas, Welcome Baby L yang ditayangkan di stesen televisyen Indosiar pada Sabtu lalu.
Selain berkongsi wajah anak sulung mereka, Rizky dan Lesti juga mengumumkan nama yang diberi pada bayinya iaitu Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.
Ujar Rizky, nama yang diberikan pada bayinya itu dianggap sesuai untuk diberikan kepadanya kerana membawa maksud yang baik.
“Muhammad adalah nama pertama saya. Nama itu juga adalah nama seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) yang sangat dimuliakan.
“Memang saya berharap dapat memberikan nama ini kepada anak saya,” kata Rizky.
Bagi perkataan Leslar pula, Rizky memberitahu nama tersebut adalah nama gabungan antara dia dan isterinya, Lesti yang diberikan oleh peminat mereka.
“Nama ini (Leslar) menjadi sesuatu yang besar dan mengandungi jutaan doa daripada orang (peminat),” katanya.
Rizky dalam pada itu turut berkongsi keadaan anak dan isterinya yang kini berada dalam keadaan baik dan sihat.
Terdahulu, Lesti telah selamat melahirkan cahaya matanya secara pramatang pada 27 Disember tahun lalu secara pembedahan selepas mengalami pendarahan akibat terlalu penat. – K! ONLINE