LONDON – Pelumba Mexico, Sergio Perez enggan menjadi pemandu kedua pasukan Red Bull Racing sebaliknya bertekad untuk memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) bagi musim 2022 nanti.
Semenjak menyertai pasukan Red Bull pada musim 2021, Perez dilihat menjadi tulang belakang kepada kejayaan Max Verstappen merangkul gelaran dunia F1 pertamanya sekali gus berjaya menamatkan dominasi pasukan Mercedes.
Justeru, Perez mengakui tugas tersebut tidak akan dipikulnya sekali lagi kerana misinya adalah memburu gelaran dunia F1 meskipun terpaksa bersaing dengan rakan sepasukannya.
“Musim depan saya sendiri mahu berjuang untuk memburu gelaran dunia F1 dan itu adalah sasaran saya.
“Kami bermula dengan peraturan baharu, jentera baharu dan bermula dari bawah semula untuk mengutip mata.
“Jadi, saya rasa ini adalah peluang saya untuk memburu kemenangan bermula pusingan pertama. Saya berharap pengalaman lalu dapat membantu saya meraih keputusan yang lebih positif,” katanya.
Dalam pada itu, Perez turut berterima kasih kepada pasukan itu kerana melanjutkan kontraknya sekali gus bertekad untuk memburu kejayaan bersama Red Bull.
“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan untuk bergelar juara dunia dan saya gembira bekerja dengan pasukan saya. Saya sangat berterima kasih kepada Red Bull kerana melanjutkan kontrak saya.
“Pada peringkat kerjaya saya ketika ini, saya mahu menikmatinya. Saya yakin kami dapat melalui musim 2022 dengan baik sekali lagi,” tegas Perez. – AGENSI