fbpx

Peluang ini akan jadi lipatan sejarah – Sa.Ya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sa.Ya merupakan peserta kelima tersingkir dalam GV8 sekali gus membatalkan hasrat mereka untuk mara berentap pada separuh akhir minggu depan.

PETALING JAYA – Hasrat kumpulan duo Sa.Ya untuk berentap dalam pusingan separuh akhir program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) minggu depan musnah selepas diumumkan tersingkir malam tadi.

Sa.Ya yang dianggotai dua pelawak terkenal iaitu Saiful Apek dan Yassin membawakan lagu Blus Terengganu Kita bagaimanapun akur dengan keputusan juri yang menegur tentang kelemahan vokal mereka.

“Ini adat pertandingan. Kami pelawak pertama sertai GV. Kami masih dalam proses belajar.

“Dalam satu kejayaan ada 99 kegagalan. Tujuan kami untuk perbaiki persembahan di pentas. Ini adalah satu proses pembelajaran untuk beri inspirasi kepada orang di luar sana.

“Apapun kami sudah langsaikan hutang dalam bidang seni untuk peminat sepanjang dalam GV8. Peluang ini akan jadi lipatan sejarah,” kata Saiful.

Keputusan suku akhir malam tadi turut menyaksikan Suki Low yang membawa lagu Korea berjudul You Are My Everything berada di kedudukan teratas dengan markah 78.9 peratus.

Manakala, penyanyi asal Singapura Aliff Aziz pula berada di kedudukan kedua dengan 76.8 peratus diikuti Aweera yang selesa berada di tempat ketiga dengan markah 73 peratus sekali gus mara ke peringkat separuh akhir.

Peserta lain yang turut mara ialah Nikki Palikat, Adibah Noor, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee.

Pusingan suku akhir GV8 diadili barisan juri tetap iaitu maestro tersohor, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta dua juri jemputan iaitu Datuk Mokhzani Ismail dan Datuk Norman Abdul Halim.

Dihoskan duo pengacara popular Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad pukul 9 malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI