PUTRAJAYA – “Jangan dikaitkan proses itu (pelantikan) dengan kes kita dengar sekarang ini,” kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, pelantikan Azam sewaktu beliau masih Perdana Menteri bagi menerajui suruhanjaya tersebut iaitu selepas bekas Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya meletakkan jawatan, dibuat secara teratur serta mengikut peraturan dan prosedur yang betul.
“Selepas itu, mesti ada pengganti dan yang melantik bukan saya iaitu selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Proses lantikan itu teratur mengikut peraturan dan mana-mana jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti ini, tidak dibuat secara begitu mudah sahaja.
“Ia harus melalui satu proses yang diperakukan sebuah jawatankuasa di mana Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam kes seperti ini, mengemukakan cadangan nama dan bukan saya pilih. Dia cadangkan dan didapati dia layak, sudah mematuhi apa sahaja kriteria.
“Saya fikir proses itu tidak salah, memang betul dan teratur. Jadi jangan dikaitkan proses itu (pelantikan) dengan kes kita dengar sekarang ini, saya tak nak ulas kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sehubungan itu tiada isu dibangkitkan berhubung pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan kes yang diperkatakan ketika ini.
“Bagi saya semuanya teratur, sudah pun diperkenankan dan saya tak rasa satu kesalahan prosedur lantikan sebagainya. Itu urusan dibuat oleh KSN di bawah jawatankuasa dan saya pada waktu itu sebagai Perdana Menteri bersetuju untuk memperakukan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kemudian, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan jadi, saya fikir tak ada isu dibangkitkan oleh sesiapa sekali pun,” ujarnya.- K! ONLINE