PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaysia (MyTTF) telah bersetuju dengan enam perkara di bawah Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun iaitu bermula 2021 hingga 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara pertama dipersetujui tersebut adalah rondaan penguatkuasaan dan pengawalan.
Katanya, ia melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.
Perkara kedua, menurut beliau, adalah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.
“Meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.
“Memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Ismail Sabri, perkara kelima dalam senarai tindakan tersebut adalah memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.
Perkara terakhir, katanya, adalah Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.
“Penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.
“Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya,” katanya. – K! ONLINE