fbpx

Mangsa banjir turun kepada 2,935 di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melakukan pemantauan keadaan banjir di sekitar kampung Bukit Senggir, Segamat, Johor.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini semakin menampakkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,935 orang pada pukul 4 petang ini, berbanding 3,161 mangsa awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, 2,935 mangsa itu terdiri daripada 846 keluarga.

Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di empat buah daerah negeri ini.

“Segamat merekodkan seramai 1,089 mangsa yang ditempatkan di 17 PPS, diikuti Muar dengan 1,085 mangsa di 10 PPS, kemudian Tangkak dengan 680 mangsa di sembilan PPS serta Batu Pahat dengan 81 mangsa di satu PPS.

“Walaupun daerah yang terjejas banjir di negeri ini masih kekal, namun jumlah mangsa dan PPS yang masih dibuka telah menunjukkan trend penurunan ekoran cuaca yang cerah di seluruh Johor ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu, tiga PPS yang ditutup hari ini melibatkan dua di daerah Segamat serta satu di Batu Pahat.

“Selain itu, ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia juga tidak menunjukkan sebarang tanda amaran cuaca buruk di seluruh negeri ini.

“Namun masih terdapat tiga buah sungai yang menunjukkan bacaan paras air sungai bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Olak Sepam; Sungai Muar di Liang Batu dan Sungai Muar di Bukit Kepong,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan ketika ini masih terdapat 10 laluan yang masih terputus hubungan melibatkan lima daerah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI