KEJATUHAN empayar Kesatuan Soviet (USSR) pada akhir 1980-an sepatutnya membuka pintu kepada negara-negara satelit USSR seperti Armenia, Azerbaijan, Belarus, Estonia, Georgia, Latvia, Lithuania, Moldova, Ukraine, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan memilih hala tuju sendiri, bebas daripada rejim komunis.
Namun, angin perubahan yang diharapkan tidak berlaku walaupun beberapa dekad sudah berlalu.
Walaupun sudah merdeka dan berdaulat, negara-negara tersebut masih belum bebas daripada cengkaman dan pengaruh Rusia selaku teraju utama USSR pada masa lalu. Nama sahaja merdeka tetapi negara-negara itu dan rakyatnya tidak bebas untuk memilih hala tuju sendiri.
Sehingga sekarang negara-negara itu masih takut dan berada di bawah telunjuk Kremlin. Secara teorinya, negara-negara itu bebas tetapi pemimpin mereka masih tunduk kepada Rusia.
Kalau dahulu, Moscow menyelar Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya kerana tidak mahu mengiktiraf pilihan rakyat Palestin yang mengundi gerakan Hamas di Gaza , sedangkan Barat melaungkan bahawa mereka adalah pejuang agung sistem demokrasi.
Demokrasi berpihak kepada majoriti dan Barat harus akur pilihan rakyat Palestin dan tidak melaksanakan sekatan kejam dengan melabelkan Hamas kumpulan pengganas sebagai alasannya.
Namun, apa kurangnya Rusia? Walaupun USSR sudah lama berkubur, bayang-bayang Kremlin masih menghantui negara-negara satelitnya, Rusia yang umum mengetahui ‘bermusuh’ dengan negara-negara Eropah sejak berabad-abad lamanya, mahu ‘mengekalkan auranya’ di negara-negara satelit berkenaan.
Rakyat di negara-negara itu bebas untuk mengundi dan memilih, asalkan mereka tidak cenderung memilih sistem pemodenan acuan Barat.
Bukti jelas berlaku kepada Ukraine apabila Moscow menumbangkan aspirasi rakyat dan pemimpin negara itu yang mahu menyertai perikatan Kesatuan Eropah.
Tindakan keras Rusia merampas wilayah Ukraine di Semenanjung Crimea adalah amaran jelas dan nyata bahawa Moscow tidak teragak-agak menggunakan kekerasan terhadap bekas negara USSR itu.
Baru-baru ini, Barat menuduh Rusia mengumpulkan lebih 150,000 askarnya di sempadan Ukraine dalam rancangan untuk menakluki negara itu dan menurut laporan media, serangan dijangka berlaku awal tahun ini.
Rusia sebaliknya, menafikan tuduhan AS dan Barat, namun jelas Moscow ingin menyampaikan mesej kepada Washington bahawa sebarang tindakan lanjutnya berhubung konfrontasi tersebut adalah bergantung kepada langkah AS sendiri.
Rusia juga memberi kata dua kepada Barat terutamanya AS supaya tidak membina pengaruh apatah lagi pangkalan tentera di negara-negara satelit berkenaan.
Baru-baru ini Moscow menghantar tentera ke Kazakhstan selepas rakyatnya bangkit cuba menumbangkan kerajaan pro-Moscow pimpinan Nursultan Abishevich Nazarbayev. Adalah menjadi kesangsian sama ada pasukan Rusia itu adalah misi pengaman atau misi untuk mengekalkan kerajaan boneka Moscow di Kazakhstan. -K! ONLINE