TAMPIN – Dugaan demi dugaan terus menimpa tiga beranak selepas mereka disahkan positif Covid-19 pada Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan hilang punca pendapatan mengambil upah menjaga kanak-kanak.
Siti Fatihah Mohammad, 30, berkata, ibunya, Maimon Md. Yasin, 60, sebelum ini sangat aktif membantunya menjaga dua kanak-kanak sebelum disahkan positif Covid-19.
Katanya, ibunya kini hanya terlantar dan memerlukan lebih 10 bungkus lampin pakai buang disebabkan otot semakin mengecut serta sukar bergerak.
“Sebelum ini kami mengambil upah menjaga kanak-kanak, namun selepas disahkan positif Covid-19, kami tidak dapat berbuat demikian lagi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi kategori bantuan ibu tunggal.
“Kami masih menunggu bantuan lampin pakai buang daripada pihak Baitulmal. Saya tidak boleh keluar bekerja kerana menjaga emak dan seorang anak lelaki berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui di Taman Gunung Mas Repah, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Zaharudin Johan.
Menurut Siti Fatihah, dia kini menjual makanan ringan di hadapan rumahnya sebagai usaha untuk menambah pendapatan yang terputus sejak Oktober tahun lalu.
Tambahnya, selain itu dia juga perlu membayar sewa rumah RM250 sebulan dan pelbagai jenis bil sekitar RM50.
“Dengan baki duit bantuan sekitar RM200 sebulan saya berjimat-jimat menggunakan duit tersebut untuk perbelanjaan makanan kami tiga beranak.
“Mujur ada pemimpin setempat dan juga badan bukan kerajaan yang menghulurkan bantuan,” katanya yang sudah terputus hubungan dengan seorang kakaknya sejak wanita itu berkahwin pada 2016.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 1550-5046-7368 Siti Fatihah atau menghubunginya di talian 017-384 2057. -K! ONLINE