KUALA LUMPUR – Lima buah unit rumah panjang, blok K di Jalan Mohd. Fuad, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), dekat sini musnah 100 peratus dalam kebakaran tengah malam tadi.
Komander Operasi Kanan, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) M. Letchumanan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan daripada MERS999 pada pukul 11.47 malam.
“Seramai 34 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI, Sri Hartamas dan Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan rumah panjang yang mana lima buah unit rumah dari K6 hingga K10 terbakar.
“Anggaran keluasan kebakaran 50×30 kilometer persegi (kps) dengan kemusnahan 100 peratus, bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat,” ujarnya dalam kenyataan awal pagi tadi.
Menurutnya, petugas bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan teknik ‘attacking’ dan ‘defensive’.
Katanya, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – K! ONLINE