KAJANG – Selepas 35 tahun berdepan pelbagai cabaran dan halangan, pembinaan kompleks yang menempatkan Pejabat dan Pusat Latihan Unit Tindakan Khas (UTK) akhirnya dapat direalisasikan apabila ia bakal dibina di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mac 2024.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jika disingkap perjalanannya, cadangan pembinaan kompleks UTK ini telah bermula sejak tahun 1987 lagi.
“Pada awalnya, tapak pembinaan kompleks baharu ini dicadangkan di Shah Alam, namun sepanjang tempoh daripada tahun 1987 sehingga 2016, lokasi projek tersebut telah bertukar dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
“Alhamdulillah, segala usaha dan jerih perih serta penantian kepimpinan UTK sejak tahun 1987 akhirnya terbalas, apabila pada tahun 2016, tapak projek tersebut diputuskan di Kem Batalion 4, PGA Semenyih, setelah diluluskan peruntukannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Rolling Plan 2,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan UTK Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Kem Batalion 4 PGA Semenyih, dekat sini hari ini.
Menurutnya, menginjak ke-47 tahun usia penubuhan UTK bermula 1 Januari 1975, pasukan berkenaan telah melalui fasa-fasa evolusi dalam struktur organisasi, fungsi pengoperasian, aset serta kekuatan sumber manusia.
“Menyedari akan cabaran penugasan semasa UTK yang semakin kompleks, pucuk pimpinan pasukan terus memperjuangkan hak serta kebajikan warga UTK terutamanya dari aspek kemudahan dan kelengkapan, agar keupayaan unit elit ini terus diperkasakan.
“Kompleks yang dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mac 2024 kelak akan menjadi sebuah kompleks pentadbiran serta operasi yang tersergam indah, yang mana akan menempatkan Bilik Keselamatan VVIP dengan dilengkapi teknologi canggih yang terkini dan juga dengan Pusat Latihan untuk para operatif UTK,” ujarnya.
Jelas beliau, kemudahan latihan yang serba moden ini berupaya meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan operatif UTK dalam apa jua keadaan dan ancaman, selain melahirkan para operatif UTK sebagai ‘high value individuals’ yang berkemahiran tinggi dalam penugasan masing-masing.
Katanya, pembinaan kompleks berkenaan juga sebagai tanda PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat menitikberatkan penyampaian perkhidmatan yang profesional dan berkualiti, menjaga aspek kebajikan warganya serta mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menyediakan prasarana yang kondusif khususnya buat pasukan elit ‘pemakai beret maroon’ tersebut. – K! ONLINE