TAMBUNAN – Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang di Kampung Sungai Zon Kumareling ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Mohammad Syaril berusia, 2, ditemui orang awam kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman mengenai penemuan itu pada pukul 10.05 pagi.
“Sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus bergegas ke lokasi mangsa ditemui.
“Mangsa ditemui orang awam pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Jurucakap PGO Sabah berkata, mayat kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11 pagi.
Terdahulu, kanak-kanak terbabit dikhuatiri lemas selepas ibunya menemui selipar mangsa di tepi sungai di belakang rumah mereka dalam kejadian petang semalam. Pasukan bomba yang menerima laporan terus bergegas ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – K! ONLINE