fbpx

Jiwa besar Shameera Nasreen tangani masalah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMEERA NASREEN turut mewakili wanita muda di tempat kelahirannya dalam isu-isu berbangkit ke peringkat lebih tinggi menerusi penyertaan dalam PWM.

KEPETAHAN berkata-kata dengan baik di depan khalayak membolehkan gadis berusia 23 tahun itu terkedepan.

Kelebihan dimiliki membolehkan Shameera Nasreen Ahmed Noordeen cukup dikenali dalam kalangan rakan-rakan sebayanya sama ada di dalam mahupun luar kampus.

Di kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dia dikenali sebagai pejuang hak pelajar dengan kejayaan mengetengahkan isu-isu dihadapi oleh mahasiswa.

Dia juga mewakili kaum wanita muda di tempat kelahirannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam mengutarakan isu-isu membelenggu kaum hawa ke peringkat negeri dan persekutuan.

Pada masa sama, Shameera Nasreen juga aktif menyertai pertandingan debat, selain dipilih menjadi moderator dan hos program.

“Saya aktif dalam pengucapan awam sejak di bangku sekolah menengah lagi dan diteruskan sehingga ke peringkat universiti dengan menyertai beberapa pertandingan.

“Kelebihan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu menonjolkan isu-isu dihadapi golongan wanita dan mahasiswa,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Sumber Asli) memaklumkan, dia pernah dilantik sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selama sepenggal di UMK.

Katanya, jawatan tersebut membolehkannya membantu menyelesaikan masalah-masalah dihadapi oleh mahasiswa di dalam kampus termasuk isu berkaitan yuran.

“Salah satu isu yang saya dan rakan-rakan perjuangkan adalah berkaitan masalah yuran pengajian. Kami mendesak pihak pengurusan universiti mengurangkan yuran sewaktu pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, yuran berkenaan akhirnya dikurangkan. Kami juga membantu menyediakan pengangkutan bagi memudahkan mahasiswa balik ke kampung atau kembali ke kampus ketika pandemik,” ujarnya.

Di luar kampus pula, Shameera Nasreen merupakan wakil kawasan Bukit Mertajam dalam Parlimen Wanita Muda (PWM) serta Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam pada Sidang Wanita Pulau Pinang.

Kedua-kedua platform tersebut digunakan bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan wanita, terutamanya pemerkasaan Akta AntiGangguan Seksual.

Jelasnya, akta itu perlu segera digubal dan dilaksanakan memandangkan terdapat kelompongan beberapa perkara dalam akta berkenaan sehingga menyebabkan pencerobohan hak asasi manusia.

“Di pentas PWM pula, saya banyak mengetengahkan isu berkaitan keganasan rumah tangga dan hak-hak wanita.

“Salah satunya adalah isu had umur perkahwinan bagi wanita.

“Saya rasa ia perlu diselaraskan di semua negeri dengan menetapkan had umur kepada 18 tahun. Meskipun saya bukan pelajar undang-undang, tetapi saya banyak bertanya pakar,” ujarnya.

Menariknya, Shameera Nasreen boleh berkomunikasi dengan lancar dalam empat bahasa utama di negara ini iaitu Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin.

Menurutnya, dia mempelajari bahasa Mandarin daripada pengasuh yang juga jirannya sewaktu kecil dengan hanya mendengar percakapan mereka setiap hari.

Dia memaklumkan, Tamil pula merupakan bahasa percakapan setiap hari memandangkan keluarganya berketurunan India Muslim atau dikenali sebagai Mamak.

“Kebolehan berkomunikasi dalam banyak bahasa ini memudahkan saya berkawan dengan sesiapa sahaja . Saya juga boleh faham dengan lebih baik sesuatu isu dihadapi kaum lain,” katanya.

Meskipun sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, namun Shameera Nasreen tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang mahasiswa.

GADIS kelahiran Pulau Pinang ini dikenali sebagai pejuang hak pelajar dalam kalangan rakan-rakan.

Menurutnya, pada sebelah siang dia memberi tumpuan penuh kepada pelajaran, manakala waktu malam dihabiskan untuk perbincangan bersama rakan-rakan dalam persatuan.

“Orang macam saya ini waktu tidurnya tidak menentu dan singkat. Masa saya banyak dihabiskan dengan aktiviti luar dan mengulangkaji.

“Saya tidak ada sebarang jadual seperti orang lain. Kalau ada sesuatu tugas, saya akan tidur lewat bagi menyiapkannya terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Sebelum mengakhiri bicara, gadis berkulit sawo matang itu menyimpan hasrat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD).

Dia menegaskan, tugas tersebut sangat sesuai dengan jiwanya yang gemar menyelesaikan sesuatu isu yang membelenggu masyarakat.

“Saya tidak berniat untuk masuk mana-mana parti politik selepas tamat pengajian nanti. Ini kerana, saya lebih suka bergerak tanpa mewakili mana-mana parti.

“Andai saya dapat bekerja sebagai PTD, saya mungkin akan menyambung kembali pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam jurusan Hubungan Antarabangsa,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI