JELEBU – Tentera Darat hari ini memberi bantuan pengangkutan bot kepada 26 orang pelajar sekolah dari Kampung Bemban, Simpang Durian di sini yang terputus hubungan melalui jalan darat akibat banjir baru-baru ini.
Banjir besar yang melanda daerah ini pada 19 Disember yang lalu telah mengakibatkan jambatan yang menjadi laluan ke kampung tersebut runtuh dipukul arus air Sungai Teriang yang deras.
Pegawai Memerintah, Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Senawang Leftenan Kol. Isma Zaini Ismail berkata, susulan itu juga, pihaknya telah memberi bantuan tersebut bagi memudahkan pelajar untuk ke sekolah masing-masing
“Ini merupakan bantuan pasca banjir di mana jambatan yang telah menghubungkan Kampung Bemban dengan Kampung Jerang terputus hubungan sejak kejadian banjir yang berlaku 19 Disember tahun lalu.
“Kami telah membantu mereka (pelajar) ke sekolah dan menghantar mereka pulang dengan menaiki sebuah bot tempur ini. Anggota dari 15 RAMD telah ditempatkan di sini sejak 21 Disember yang lalu bagi memudahkan penduduk Kampung Bemban berhubung ke Kampung Jerang di mana terdapat sekolah dan beberapa kemudahan lain.
“Anggota ini akan bersiap sedia seawal pukul 6.15 pagi bagi memastikan pelajar yang bersekolah dapat menaiki bot dan menunggu mereka sehingga waktu pulang tengah hari nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di tepi Sungai Teriang di Kampung Jerang, Simpang Durian, di sini hari ini. – K! ONLINE