PUTRAJAYA – Ibu bapa meluahkan rasa syukur apabila melihat anak-anak mereka kembali ke sekolah selepas sekian lama ‘bercuti’ dari suasana sebenar persekolahan.
Walaupun masih terdapat sedikit kebimbangan ekoran virus Covid-19, namun mereka berpandangan ilmu pembelajaran tidak seharusnya diabaikan terutamanya untuk menentukan masa depan mereka.
Tinjauan Kosmo! di beberapa sekolah sekitar Putrajaya dan Bandar Baru Bangi hari ini mendapati proses pergerakan masuk murid-murid tahun 1 hingga 3 berjalan lancar dengan pemantauan guru-guru sekolah seawal pukul 6.45 pagi.
Selain itu, kehadiran polis trafik yang mengawal lalu lintas nyata memudahkan pergerakan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka masing-masing
Bagi seorang ibu, Nur Farid Baiduri Rosli, 36, setelah sekian lama belajar di rumah, kini tiba masanya bagi dua orang anaknya untuk mengharungi pembelajaran sebenar.
Katanya, sesi pembelajaran di rumah adalah berbeza dengan di sekolah dan sukar bagi anak-anaknya untuk memahami apa yang dipelajari.
“Macam saya ada seorang anak lelaki yang berada dalam kelas pendidikan khas, jadi pastinya memerlukan pergaulan bersama rakan sekelas. Mereka memerlukan pergerakan dan pembelajaran secara bersemuka untuk memudahkannya mengikuti proses pembelajaran.
“Jadi memang saya mengharapkan anak saya untuk belajar di sekolah sebagai pendedahan selepas sekian lama belajar dirumah,” ujarnya yang ditemui selepas menghantar anak di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) di sini hari ini. – K! ONLINE