PETALING JAYA – Tiupan angin dari arah Timur Laut menyebabkan peningkatan kelembapan sehingga menyebabkan hujan berterusan di tengah serta barat Sarawak mulai esok sehingga Khamis ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporannya hari ini berkata, susulan itu amaran hujan berterusan dikeluarkan berkuat kuasa mulai esok di negeri itu.
Selain itu, amaran angin kencang serta laut bergelora kategori pertama dan kedua turut dikeluarkan terhadap negeri Johor dan Sabah dijangka berterusan sehingga 16 Januari ini.
“Antara kawasan di Sabah yang terlibat termasuk perairan Sulu, Tioman, Bunguran, Reef South, Layang-layang, Labuan, Palawan, Condore dan Reef North.
“Keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, sukan dan rekreasi laut berikutan ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 3.5 meter di kawasan perairan yang berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu di Semenanjung Malaysia pula katanya, pada pagi ini keadaan cuaca adalah cerah di hampir semua negeri kecuali hujan di kawasan pesisiran pantai Selangor yang dijangka reda tidak lama lagi. – K! ONLINE