MONTREAL, KANADA – Seorang saintis dari Kanada meramalkan jangka hayat seorang manusia boleh mencecah sehingga 180 tahun menjelang 2100, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Penolong Profesor di HEC Montreal, Leo Belzile berkata, rekod bagi manusia tertua di dunia berkemungkinan mencapai tahap baharu menjelang penghujung abad ini.
Rekod sedia ada adalah milik seorang wanita dari Jerman, Jeanne Calment, yang hidup sehingga usia 122 tahun sebelum meninggal dunia pada 1997.
Tambah Belzile, penekanan masyarakat bagi memanjangkan jangka hayat seseorang bakal mengundang kekangan kewangan bagi rawatan kesihatan.
“Semakin tua seseorang itu, lebih banyak wang yang perlu dihabiskan untuk perbelanjaan rawatan penyakit yang hadir bersama usia tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, data daripada Pangkalan Data Antarabangsa mengenai Usia Panjang mendedahkan bahawa risiko bagi kematian meningkat secara beransur-ansur dari usia 50 tahun namun perlahan pada usia 80 tahun dan menurun pada 110 tahun.
“Tiada sesiapa pernah hidup melebih usia 122 tahun. Kita menerima fakta yang menyatakan bahawa seseorang boleh hidup sehingga 130 tahun, namun untuk apa?
“Jika anda ingin menjadikan mereka kekal hidup dan sihat, ia akan melibatkan perbelanjaan yang amat besar untuk menggantikan lutut, pinggul, kornea mata dan injap jantung mereka,” kata Pakar Jangka Hayat dari Universiti Southern California, Profesor Eileen Crimmins. – AGENSI