fbpx

Datang melancong untuk mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan yang berjaya di rampas melibatkan tujuh kes pecah cermin kereta sekitar Cameron Highlands sejak 6 hingga 8 Januari lalu, di sini, hari ini.

CAMERON HIGHLANDS – Taktik empat lelaki membawa keluarga dan kekasih melancong sambil mencuri di pusat peranginan di sini akhirnya terbongkar selepas enam daripada mereka ditahan pihak polis Sabtu lalu.

Modus operandi mereka ialah dengan memecah cermin kereta pengunjung untuk mencuri barangan berharga.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek dipercayai datang dari Sungai Petani, Kedah menaiki tiga kenderaan berasingan dan menginap di salah sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang sejak Khamis lalu.

Menurut beliau, pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan kejadian pecah cermin kenderaan dan kehilangan berharga di sekitar Cameron Highlands dalam tempoh tiga hari bermula 6 hingga 8 Januari lalu.

“Kejadian terbaharu pada pukul pukul 10. 50 malam Sabtu lalu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire di mana cermin belakang pemandu dipecahkan suspek selain turut melarikan wang tunai berjumlah RM260,000.

“Bertindak atas maklumat pada 8 Januari, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands telah berjaya menangkap tiga lelaki dan tiga perempuan
di salah sebuah pusat penginapan di sekitar Brinchang pada pukul 11.40 malam.

“Ketika serbuan kesemua suspek bersama ahli keluarga mereka sedang bersiap untuk melarikan diri namun berjaya ditahan di tempat letak kereta di mana mereka menginap

“Bagaimanapun, sepasang suami isteri bersama suspek utama berjaya melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di IPD Cameron Highlands di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut menemui wang tunai RM260,000 yang disorokkan dalam kawasan sampah di blok mereka menginap selain merampas perkakas untuk memecah kenderaan bersama sebatang anak kunci gari.

Katanya, polis turut merampas empat peket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 34.74 gram bersama satu peket plastik berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan seberat 4.2 gram.

“Kita juga turut merampas pelbagai jenis barang kemas termasuk tiga keping emas, 10 buah telefon bimbit, beg sandang warna hitam mengandungi wang tunai berjumlah RM3,843 serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih,” katanya.

Ramli berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah beberapa akta antaranya Seksyen 379 kanun keseksaan iaitu mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda.

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

“Mereka ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 12 Januari bagi tujuan siasatan, manakala usaha untuk mengesan dan menangkap rakan sejenayah yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI