fbpx

Bijak urus perbelanjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TAHUN baharu merupakan detik permulaan untuk kita semua merancang kehidupan dalam segenap aspek termasuklah kewangan agar ekonomi diri sendiri dan keluarga terus kukuh dalam menghadapi situasi semasa yang semakin getir.

Saban hari kehidupan dilihat semakin mendesak ekoran masalah ekonomi, kehilangan pekerjaan dan harga barangan naik mendadak menyebabkan ada yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menjamin kewangannya berada di tahap selesa.

Justeru, perancangan kewa­ngan perlu dilakukan dengan bijaksana demi menjamin masa depan lebih cerah, maka jadikan tahun baharu sebagai permulaan penting dalam merangka hala tuju kewangan kita.

Menurut Habibah Hassan, 39, setiap kali tahun baharu dia dan keluarga kecilnya sudah me­rancang kewangan selama setahun merangkumi penyimpanan, perbelanjaan dan mencari pe­luang menambah pendapatan.

“Dalam dunia yang serba mencabar ini kita tidak boleh mudah berasa selesa dengan kehidupan sedia ada, tetapi perlu sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dan menambah baik.

“Justeru, perancangan ini sangat penting apatah lagi anak-anak semakin membesar dan memerlukan kos yang agak tinggi untuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, awal tahun adalah masa yang sesuai untuk semua orang membuat perancangan kewangan, tetapi ia juga perlu disusuli dengan mengambil tindakan ke atas perancangan belanjawan tersebut.

“Libatkan ahli keluarga dalam belanjawan tahunan itu dengan menjadikan ia sebagai aktiviti tahunan keluarga yang sangat menyeronokkan.

“Penglibatan isteri dan anak-anak dalam merancang kewa­ngan itu dapat mendidik mereka mengenai kedudukan kewangan semasa yang sekali gus, sedikit sebanyak berkongsi bebanan dengan ketua keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, ketua keluarga boleh membentangkan belanja­wan kepada anak-anak walaupun mereka masih kecil kerana ia adalah proses untuk mendidik mereka bijak merancang kewa­ngan.

Nuradli Ridzwan Shah turut berkongsi sebuah kitab bertajuk Mendisiplin Jiwa karangan Ibnu al-Jauzi (597 H) seorang ulama tersohor dari Baghdad, Iraq yang mengarang pelbagai kitab untuk menjadi rujukan umat Islam.

“Di dalam kitabnya, beliau ada memberikan penerangan tentang bagaimana seseorang individu yang bijak harus mengurus pendapatan dan perbelanjaannya.

“Secara khususnya, pendapatan kita perlu melebihi daripada apa yang kita perlu belanja iaitu hendaklah mempunyai lebihan untuk dijadikan simpanan sebagai persiapan hari-hari menda­tang yang mungkin tidak selalunya cerah,” ujarnya.

Ulama tersebut menasihatkan untuk menyediakan simpanan sebagai persediaan jika kita tidak boleh bekerja dan beroleh pendapatan atau ditimpa sebarang masalah agar simpanan itu boleh menampung kehidupan hariannya.

Terang Nuradli Ridzwan Shah lagi, pada asasnya terdapat lima dimensi pengurusan harta iaitu penciptaan kekayaan, pengumpulan harta, perlindungan harta, pengagihan harta dan penyucian harta. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI