JITRA – Kebimbangan dan rasa takut membelenggu lebih 500 penduduk di Taman Tunku Sarina Azzalea di sini ekoran ancaman babi hutan yang sering menceroboh kawasalan perumahan tersebut sejak tahun lalu.
Menurut penduduk, terdapat lebih daripada lima ekor haiwan liar itu dikesan berkeliaran berhampiran rumah penduduk pada waktu siang dan situasi itu jarang berlaku sebelum ini.
Mohd. Syaufi Yaacob, 40, berkata, dia pernah melihat haiwan liar itu berada di hadapan rumahnya beberapa kali.
“Risau juga saya nak buka pintu pagar kerana haiwan itu pernah berkeliaran betul-betul di hadapan rumah.
“Kawanan babi ini mungkin datang dari habitatnya di hutan berhampiran kawasan bukit yang terletak berdekatan kediaman kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Apa yang pelik katanya, bilangan haiwan itu sentiasa bertambah dan ada antara babi hutan berkenaan bersaiz besar selain bertanduk.
Seorang lagi penduduk, Ridwan Arma Baharom, 43, berkata, rata-rata penghuni bimbang dengan keselamatan anak mereka yang sering bermain di luar pada waktu petang.
“Bimbang juga jika haiwan liar itu mengamuk dan menyerang kanak-kanak sehingga boleh mengakibatkan kecederaan kepada mereka.
“Baru-baru ini saya ternampak seekor babi menyeberangi jalan dan masuk ke taman perumahan bersebelahan sebelum memunggah tong sampah untuk mencari sisa makanan,” jelasnya.
Zulfami Shariff, 34, pula berkata, mereka tidak tahu pihak mana perlu diajukan masalah itu, namun Jabatan Perhilitan pernah memaklumkan yang mereka boleh meletakkan sangkar berdekatan habitat haiwan itu.
“Bagaimanapun, kami dimaklumkan agar memastikan sangkar itu tidak dicuri atau perlu membayar ganti rugi.
“Situasi ini agak sukar kerana kawasan bukit dan hutan berkenaan dipercayai menjadi sarang penagih yang mungkin mencuri sangkar tersebut,” jelasnya.
Sehubungan itu, penduduk memohon pihak berkaitan supaya dapat menangkap haiwan berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk di situ. -K! ONLINE