GEORGE TOWN – Seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Taman Botani di sini semalam ditemui selamat hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Dewi ditemui pada pukul 2.57 petang di kawasan itu oleh pasukan bomba dalam keadaan keletihan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, operasi itu disertai oleh 44 orang terdiri daripada 12 anggota bomba, bomba sukarela (dua), polis (11) dan Angkatan Pertahanan Awam (19).
“Operasi dijalankan di kawasan air terjun dengan jarak kira-kira 2 kilometer (km) dari kaki bukit.
“Pencarian dibahagikan kepada empat sektor yang bermula dari kawasan air terjun dalam radius 2 km,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita dilaporkan sesat ketika mendaki bukit di Taman Botani kira-kira pukul 4 petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan kira-kira pukul 2.15 pagi sebelum dimulakan semula pada pukul 8 pagi tadi. – K! ONLINE.