SELANGOR Pistons bermula langkah kanan pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila mengejutkan salah satu pasukan pilihan, Johor Tigris dengan kemenangan 2-1 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Pada perlawanan tersebut, Selangor yang turun sebagai pasukan underdog menampilkan aksi lebih kemas apabila menewaskan bekas pemenang Piala Juara-Juara STL dengan keputusan 19-21, 21-17, 21-5.
Apit kanan Selangor, Amirul Syafiq Samudin yang bertindak sebagai killer mempamerkan kelas tersendiri apabila rejaman-rejamannya banyak menghadirkan mata buat pasukan.
Biarpun tewas pada set pertama, namun kebangkitan yang ditunjukkan Selangor wajar dipuji apabila mereka tampil dengan aksi lebih agresif untuk memenangi dua set berikutnya.
“Kami dapat beraksi bagus hari ini (semalam) mungkin disebabkan sudah berlatih dengan baik, selain berbekalkan keyakinan yang tinggi. Bagaimanapun, kami perlu beraksi sebaiknya dalam setiap perlawanan dihadapi.
“Dalam pada itu, kami juga dapat mengesan beberapa kelemahan dalam pasukan Johor terutama dari segi balingan. Oleh itu, kami ambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan mata demi mata,” kata Amirul sejurus tamat perlawanan.
Selepas Selangor berjaya memenangi set kedua dengan 21-17, Johor dilihat seperti hilang keyakinan apabila menampilkan aksi kurang bermaya dan terpaksa akur tewas pada aksi pembukaan musim ini.
Pada aksi yang dijadualkan berlangsung hari ini, Selangor akan turun menentang Negeri Sembilan Antlers, manakala Johor bakal membuat perhitungan dengan Kelantan Warriors.