GUA MUSANG – Selepas sejam dipujuk, seramai 77 pelajar Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi di sini berjaya dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.
Usaha itu dilakukan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama pemimpin kampung dan kontraktor pengangkutan pelajar Orang Asli apabila masih terdapat ibu bapa yang bimbang dengan penularan wabak Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom, 48, berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan ada ibu bapa yang hampir setahun tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.
Katanya, selepas dipujuk, akhirnya mereka kembali membenarkan anak mereka ke sekolah menengah dan tinggal di asrama.
“Harapan saya sebagai ketua dan ibu bapa agar pihak sekolah dan guru dapat menjaga anak kami sebaik mungkin.
“Kami tidak mahu anak terus tercicir dalam pelajaran kerana sudah lama mereka berada di kampung dan belajar sendirian,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Tohoi di sini hari ini.-K! ONLINE