fbpx

Saya tak pernah kritik lagu orang – Michael Ang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK melancarkan lagu Cinta atau Propa, Michael bersedia untuk menerima kritikan daripada orang ramai.

KEKERAPAN pelancaran lagu-lagu terkini dalam laman penstriman memberikan satu indikasi positif bahawa industri muzik negara semakin berkembang dan diwarnai kehadiran ramai pendatang baharu.

Tidak kisahlah si penyanyi sememangnya mempunyai latar belakang muzik dan bakat suara yang hebat untuk dikembangkan mahupun tidak.

Cuma, kebelakangan ini lebih-lebih lagi kehadiran pandemik yang membadai dunia sekali gus mengganggu gugat kerancakan ekonomi, ramai ‘penyanyi segera’ muncul mencuba nasib.

Paling mudah, misalnya dalam kalangan usahawan dan jutawan terkenal seperti Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida dan Iqbal Zulkefli yang sudahpun bergelar penyanyi dan mempunyai lagu sendiri.

Hentamlah, cacilah, makilah waima herdiklah nyanyian dan mutu suara mereka ke ‘laut dalam’ sekalipun, semua itu tidak sedikit sekelumit pun menjadi kudis buat mereka, bahkan tambah menguntungkan.

Hitam tetap hitam dan putih tetap putih. Itulah perumpamaan ringkas yang kita boleh anugerahkan kepada mereka.

Terbaharu, penerbit dan pengarah sensasi, Michael Ang turut mengikut jejak langkah pasukan ‘bukan penyanyi bertauliah’ itu apabila muncul dengan lagu nyanyian sendiri.

Tiba-tiba gempar dengan kehadiran single perdananya, Cinta dan Propa, Michael langsung berbangga dengan pencapaian tersebut.

Michael atau nama lengkapnya, Michael Ang Hai Swee mengakui, suaranya mungkin tidak sesedap seperti suara penyanyi profesional lain, namun tidaklah teruk hingga boleh membuatkan pendengar ‘muntah’ ketika mendengar nyanyiannya.

“Ya, suara saya tidaklah sedap sangat, tetapi saya cuba buat yang terbaik. Selepas dengar, saya rasa suara sendiri tidaklah teruk sangat sehingga boleh membuatkan pendengar muntah,” katanya ringkas.

Bagi Michael, dia juga sudah bersedia apabila single baharunya itu dikritik ramai pihak kerana berpendapat setiap individu mempunyai hak untuk mengkritik.

“Semua orang ada hak untuk mengkritik. Saya juga banyak mengkritik. Kalau saya dengan seseorang penyanyi itu menyanyi tidak sedap, saya akan kritik terutama ketika pertandingan.

“Saya tidak pernah kritik lagu jika seseorang artis itu mengeluarkan lagu baharu.

“Sama juga kalau saya buat drama dan orang kritik drama saya. Saya tidak boleh marah dan tidak pernah marah sebab itu hak mereka (penonton).

“Jadi bila saya mengambil keputusan untuk keluarkan lagu, saya kena bersedia untuk menerima kritikan orang dan saya harus terima jika dikritik,” katanya.

Secara peribadi dan pendapat umum, tidak ada salahnya untuk sesiapa sahaja muncul dan mahu menjadi penyanyi jika benar-benar sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan.

Namun, fenomena ini seakan-akan menjadi satu trend yang mungkin dilihat kurang sihat bagi industri muzik Malaysia, apatah lagi berdaya saing dek kerja ‘tangkap muat’ daripada mereka ini. Anggap sahaja semua ini hiburan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI