KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju memberikan pengecualian bayaran sewa kepada semua pengusaha kantin dan premis lain di dalam sekolah seluruh negara selama enam bulan bermula Januari sehingga Jun depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu dijalankan dengan mengambil kira mengenai cabaran yang perlu dihadapi pengusaha kantin dan premis lain sepanjang penutupan sekolah sejak Covid-19 melanda negara.
Menurutnya, pengecualian bayaran sewa itu melibatkan lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara yang pastinya memberikan kelegaan kepasa pihak terbabit.
“KPM menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin untuk pengecualian sewa. Jadi, kita telah membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewa kepada premis dalam sekolah dan pengusaha kantin selama enam bulan.
“Selain kantin antara premis dalam sekolah yang turut diberi pengecualian itu adalah kedai dobi, koperasi dan pengendali mesin minuman air, ” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Jalan Telipot di sini sempena operasi hari pertama sekolah di Kelantan.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, maklumat lebih lanjut berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihak KPM dalam masa terdekat.
“Ini bukan penangguhan bayaran sebaliknya ia merupakan pengecualian terus selama enam bulan bagi meringankan beban mereka sepanjang operasi kantin yang ditutup sebelum ini,” katanya.-K! ONLINE