LONDON – Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna sedang menghasilkan satu dos vaksin untuk diberikan kepada warga Britain bagi memberi perlindungan terhadap Covid-19 dan selesema seawal tahun depan, lapor laman berita MailOnline semalam.
Ketua Moderna cawangan Britain, Darius Hughes berkata kombinasi vaksin tahunan itu akan memudahkan pesakit kerana tidak memerlukan mereka mengunjungi kemudahan kesihatan dengan kerap selain mengurangkan kos Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) untuk mengeluarkan vaksin.
Hughes berkata suntikan terhadap koronavirus dan selesema boleh didapati sebelum musim sejuk tahun hadapan.
NHS tahun lalu berusaha untuk meyakinkan pesakit bahawa pemberian suntikan terhadap selesema dan Covid-19 pada masa yang sama tidak menjejaskan tindak balas imun.
Moderna juga sedang membangunkan vaksin untuk menangani varian Omicron secara khusus.
Data peringkat awal tentang keberkesanannya dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu akan datang.
Moderna juga berharap untuk mencipta vaksin yang menangani Covid-19, influenza dan virus pernafasan syncytial (RSV) yang biasanya menyebabkan gejala ringan tetapi boleh menjadi serius terutamanya untuk bayi dan orang dewasa yang lebih tua menjelang musim sejuk 2024.- AGENSI