LONDON – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski berdepan cabaran daripada mesin gol Liverpool, Mohamed Salah dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi untuk merebut Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2021.
Lewandowski berjaya meledak 48 gol daripada 40 penampilan sepanjang musim lalu, namun bakal berdepan tentangan daripada Salah yang turut berada dalam kelas tersendiri bersama Liverpool.
Messi juga tidak boleh dipandang rendah walaupun kurang beraksi bersama PSG kali ini kerana bintang Argentina itu berjaya meledak 38 gol ketika masih menyarung jersi Barcelona pada musim lalu.
Ia pastinya bukan mudah buat Lewandowski, 33, untuk mempertahankan gelaran dimenangi dua tahun lalu pada majlis anugerah yang akan diadakan secara maya pada 17 Januari ini.
Jika sekali berjaya memenanginya, kapten Poland itu akan menjadi pemain kedua selepas Cristiano Ronaldo yang berjaya mempertahankan gelaran tersebut selama dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017.
Dalam masa sama, pencalonan akhir itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Lewandowski yang gagal membantu Bayern Munich apabila tewas 1-2 kepada Borussia Monchengladbach pada aksi Bundesliga awal pagi semalam.
Walaupun Lewandowski meledak satu gol tetapi ia belum cukup untuk menghalang Gladbach daripada memenangi aksi di Allianz Arena itu menerusi dua jaringan daripada Florian Nauhas dan Stefan Lainer.
Sementara itu, dua bintang Barcelona, Alexia Putellas dan Jennifer Hermoso akan bersaing dengan penyerang Chelsea, Sam Kerr merebut status Pemain Terbaik Wanita FIFA 2021. – AGENSI