LUMUT – Markas Pemerintahan Armada Barat meneruskan kesinambungan latihan kesiagaan berkala apabila melaksanakan Latihan Perang Pangkor siri 1/22 di sekitar perairan Selat Melaka baru-baru ini.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi memberitahu,
ia bagi menguji serta menilai tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan.
Menurut kenyataan itu, Latihan Perang Pangkor siri 1/22 kali ini disertai beberapa aset TLDM iaitu frigat KD Jebat dan KD Gempita serta disokong oleh bot tempur laju TLDM.
“Pelbagai siri latihan telah berjaya diterjemahkan sepanjang latihan berlangsung meliputi aspek latihan navigasi, komunikasi, ilmu kelautan dan peperangan.
“Sebagai nilai tambah, latihan mengawal kebanjiran dan melawan api juga turut dilaksanakan bagi menguji tahap kesediaan warga kapal dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka,” ujar kenyataan tersebut.
Latihan kesiagaan ini merupakan pendekatan efektif bagi bersedia dalam mendepani sebarang situasi konflik atau peperangan sebenar.-K! ONLINE