PETALING JAYA – Detik indah sesebuah perhubungan pastinya akan diabadikan dalam bentuk gambar sebagai kenangan agar ia boleh disimpan dan dilihat semula pada masa akan datang.
Ada pasangan yang memilih untuk mengadakan penggambaran praperkahwinan dengan berlatarkan pelbagai konsep seperti kembali ke sekolah, berkelah di tepi pantai dan memilih untuk bergambar di lokasi pertama mereka bertemu demi mencipta kenangan sebelum berkahwin.
Namun, menjadi topik bualan orang ramai di Facebook hari ini apabila tular beberapa keping gambar praperkahwinan yang diadakan di Thailand dan dianggap menakutkan oleh orang ramai.
Menerusi perkongsian Nonts Kongchaw di laman Facebook, satu pasangan memilih konsep kematian dengan bergambar di beberapa lokasi yang dilihat menyeramkan seperti di kubur, rumah mayat dan turut melakukan upacara ritual ‘mati’ bagi penggambaran praperkahwinan mereka.
Sementara itu, rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi di ruangan komen dan ada juga yang mencabar pasangan mereka untuk melakukan konsep seperti itu sebagai kenangan gambar perkahwinan.
“Kalau orang Malaysia buat konsep macam ini, agak-agak yang dalam gambar nanti pengantin manusia sebenar atau sebaliknya,” kata Fuad Razali.
“Kenapa tak pernah terfikir ‘shoot’ gambar kahwin macam ini, sayang jom buat untuk ulang tahun perkahwinan kita bulan depan,” kata Hazim9096.
“Seram betul, kalau aku pengantin ajak ‘shoot’ kahwin konsep ini, aku angkat kaki dulu, nak ke kawasan kubur pun seram,” kata Mr.Cameraman. – K! ONLINE