PETALING JAYA – “Covid-19 tu sangat dekat. Ada je di keliling kita. Bila dah kena baru tahu macam mana”.
Demikian luahan penyanyi dan penyampai radio, Haiza yang memaklumkan dirinya baharu sahaja selesai menjalani kurantin selepas dijangkiti Covid-19.
Tidak sahaja dirinya, suami dan anak lelakinya turut disahkan wabak maut tersebut.
“Demam dan dada jadi sempit. Susah sikit nak bernafas. Tapi alhamdulillah, ikhtiar kita dah ada vaksin. Lengkap cuma belum booster (penggalak).
“Suami, saya dan anak (Iman) dapat lalui dengan baik. Terima kasih kepada yang banyak membantu. Anda tahu siapa anda, moga Allah sentiasa melindungi anda,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, penyampai radio Buletin FM itu berkata, Covid-19 masih boleh dijangkiti meskipun sudah lengkap divaksin, namun risikonya lebih rendah berbanding individu yang belum menerima sebarang vaksin.
“Memang benar, kalau dah vaksin pun boleh kena. Kalau tak vaksin apatah lagi. Risikonya lebih tinggi.
“Ubat dan makanan sunnah itu juga ikhtiar, maka seimbangkan. Allah Maha penyembuh dan wajib untuk kita melindungi diri dan orang sekeliling. Jadilah manusia yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti menitipkan kesyukuran kerana Haiza telah sihat dan boleh kembali bekerja seperti biasa. – K! ONLINE