LONDON – Seorang wanita dari Essex, England, berdepan situasi menjijikkan apabila sistem kumbahan pangsapurinya meletup dan melimpahkan najis manusia, lapor akhbar Daily Star, semalam.
Mikayla Collins, 33, berkata, dia terpaksa berpindah keluar buat sementara waktu kerana setiap sudut rumahnya dipenuhi tahi berwarna coklat.
Berdasarkan beberapa keping imej yang dimuat naik di media sosial, kediaman Collins dilihat dipenuhi dengan air berwarna coklat selain tisu tandas memenuhi lantai.
Tab mandi dan tandas pula dipenuhi dengan cecair keruh berwarna coklat yang terdiri daripada najis dan sisa kumbahan lain.
“Apa yang anda lihat itu adalah air tandas, air daripada mesin basuh dan semua jenis saliran dari jiran di tingkat atas serta semua objek yang dibuang ke dalam mangkuk tandas.
“Ya, itu adalah najis manusia. Berkemungkinan terdapat banyak penyakit memenuhi rumah saya sekarang dan ini merupakan satu isu kesihatan awam,” kata Collins di akaun Facebook miliknya.
Syarikat pemilik hartanah tersebut, Sanctuary Housing, telah membuat permohonan maaf terhadap insiden itu dan mendakwa telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi membolehkan Collins kembali ke pangsapuri itu. – AGENSI