PETALING JAYA – Satu rakaman video orang ramai berebut air tin yang dipercayai dijual pada harga rendah di sebuah pasar raya terkenal tular di media sosial semalam.
Rakaman video berdurasi 30 saat itu memperlihatkan orang ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 untuk mendapatkan minuman tersebut.
Sebilangan netizen mendakwa kejadian itu baru berlaku di Sitiawan, Perak, namun tiada pengesahan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini.
Rata-rata netizen menyelar kelakuan orang ramai yang berebut air tin tersebut kerana ia berisiko menyebabkan penularan Covid-19.
Pemilik akaun Facebook, Sitimizan Basaruddin berkata, perbuatan tersebut telah melanggar SOP penjarakan fizikal satu meter ditetapkan pihak berkuasa.
“Masing-masing berebut. Tak tahu raya nanti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau tidak. Jarak satu meter ke laut,” katanya.
Norhaiza Mat Shar turut mengkritik perbuatan berhimpit-himpit seperti itu semata-mata untuk mendapatkan air tin boleh mengundang jangkitan Covid-19.
Pengguna media sosial, NurArisha Hassan pula mendakwa kejadian sama turut berlaku di sebuah pasar raya di Kampar semalam. – K! ONLINE