ISLAMABAD, PAKISTAN – Sekurang-kurangnya 21 pelancong maut dalam satu kejadian ribut salji di Pakistan, semalam, yang telah menyebabkan mereka terkandas di dalam kira-kira 125,000 buah kenderaan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pihak berkuasa mengesahkan insiden itu selepas salji setebal 81 sentimeter turun dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di bandar Murree, timur laut Islamabad.
Pegawai rasmi kerajaan percaya bahawa mangsa-mangsa mati akibat sesak nafas, dan bukannya kesejukan melampau kerana sistem pemanas kereta telah dihidupkan.
Bagaimanapun, seorang pakar kesihatan, Mubashir Ahmed berkata, kematian mangsa-mangsa berkemungkinan disebabkankan oleh keadaan hipotermia.
Susulan insiden tersebut, tentera Pakistan dan kerajaan bertungkus lumus cuba menyelamatkan mangsa-mangsa lain yang terkandas dengan memberikan mereka makanan dan selimut.
Menurut laporan, beribu-ribu individu terkandas selepas jalan yang menghala ke Malka-e-Kohsar ditutup akibat cuaca buruk.
“Kira-kira 23,000 kenderaan telah diselamatkan dari Murree manakala 100 lagi masih terkandas,” demikian menurut ciapan di Twitter Timbalan Komisioner Rawalpindi.
Sementara itu, Perdana Menteri Imran Khan berkata, beliau telah mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas insiden itu selain meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan kematian para pelancong.
“Salji yang turun berterusan telah membuatkan orang ramai melakukan perjalanan tanpa memeriksa keadaan cuaca terlebih dahulu dan membuatkan mereka berada dalam keadaan tidak bersedia.
“Saya telah mengarahkan siasatan dijalankan serta akan melaksanakan peraturan tegas bagi memastikan tragedi seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya. – AGENSI