MANCHESTER – Kelab Manchester United menawarkan kontrak baharu kepada pemain tengahnya, Paul Pogba dengan nilai yang membolehkannya menjadi pemain yang menerima gaji mingguan paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
United terdesak untuk mengekalkan Pogba di Old Trafford selepas beberapa tawaran sebelum ini ditolak ketika dia hanya mempunyai baki kontrak sehingga Jun ini menyebabkan kelab itu berisiko terpaksa melepaskan khidmatnya secara percuma.
Pogba dikaitkan dengan beberapa pasukan gergasi Eropah termasuk bekas pasukannya, Juventus serta gergasi Perancis, Paris Siant-Germain, namun kaitan ke Santiago Bernebeu untuk bersama Real Madrid juga kuat diperkatakan.
Perkembangan itu menyaksikan United terpaksa membuat keputusan ‘berani mati’ dengan menawarkan kontrak baharu yang cukup lumayan dan belum pernah diberikan dalam sejarah kelab itu sendiri.
United dikatakan menawar gaji mingguan sebanyak £400,000 (RM2.28 juta) seminggu dengan beberapa bayaran tambahan yang dianggarkan berjumlah £100,000 (RM570,000) sekali gus menjadikannya pemain pertama menerima gaji sebanyak itu di England.
Tawaran gaji sebanyak £500,000 (RM2.85 juta) mungkin akan membuatkan Pogba terpaksa membuat pusingan U dan kekal di Theatre of Dreams kerana tidak ada pasukan yang mampu memberi tawaran sebanyak itu setakat ini.
Bermula bulan ini, Pogba dibenarkan untuk mengadakan rundingan bersama kelab-kelab yang berpotensi menjadi majikan baharunya apabila hanya berbaki kontrak enam bulan sahaja lagi
Setakat ini, Pogba masih belum dapat diturunkan biarpun pengurus interim mereka, Ralf Rangnick sudah menghadapi enam perlawanan ekoran kecederaan hamstring yang masih belum pulih. – AGENSI