RIYADH – Bekas pelumba MotoGP, Danilo Petrucci tidak dapat menahan sebak apabila berjaya menjuarai peringkat kelima saingan perlumbaan berprestij, Rali Dakar yang pertama kali disertainya tahun ini.
Pada perlumbaan tersebut, Petrucci yang mewakili pasukan Tech3 KTM bernasib baik selepas rakan sepasukan, Toby Price yang mendahului saingan dikenakan penalti enam minit sekali gus memberi ruang buatnya untuk ditabalkan sebagai juara pusingan.
Kata Petrucci, keputusan itu cukup menggembirakannya kerana ini adalah penyertaan pertamanya dalam saingan Rali Dakar dan sudah tentu saingan cukup mencabar terutama daripada pelumba berpengalaman.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan sekarang kerana hari ini tuah memihak kepada saya untuk menjuarai aksi pusingan kelima yang dianggap cukup mencabar.
Namun, saya berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia permotoran antarabangsa.
“Apa yang pasti, saya cukup berbangga apabila menjadi satu-satunya pelumba yang pernah menjuarai Grand Prix (GP) di MotoGP dan sekarang dapat mendominasi satu pusingan dalam saingan Rali Dakar.
“Mengenai perlumbaan, sudah tentu saya bernasib baik kerana saya tidak mengalami kecederaan ketika pelanggaran dengan unta pada awal saingan. Selain itu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk bersaing dalam keadaan cuaca kering seperti ini tetapi saya masih berjaya melakukannya,” katanya.
Saingan Rali Dakar dianggap sebagai salah satu perlumbaan permotoran elit antarabangsa yang telah membuka tirai 1 Januari lepas sebelum berakhir pada 14 Januari dengan semua pusingan musim ini diadakan di Arab Saudi. – AGENSI