ISTANBUL – Seorang petani di Turki telah memakaikan kaca mata realiti maya pada lembunya peliharaannya supaya haiwan itu berasa seperti berada di kawasan terbuka, lapor laman berita Lad Bible semalam.
Izzet Kocak dari Aksaray terpaksa membawa masuk lembu-lembunya ke dalam kandang akibat cuaca sejuk, namun masih mahukan haiwan itu menganggap ia sedang bermain di atas padang rumput hijau yang segar.
Menurutnya, selepas memakaikan haiwan peliharaannya dengan cermin mata realiti maya itu, lembu-lembunya semakin gembira dan menghasilkan lebih banyak susu.
Lelaki itu terkenal kerana menggunakan kaedah luar biasa bagi menjadikan haiwan peliharaannya semakin gembira dan lebih produktif.
Dia sebelum ini memasang muzik klasik untuk 180 ekor haiwan peliharannya bagi meningkatkan mood, malah bercadang untuk membeli lebih banyak cermin mata itu bagi kegunaan lembu-lembunya.
“Lembu-lembu itu melihat padang rumput hijau dan ia memberikan rangsangan emosi, menjadikan mereka kurang tertekan,” katanya.
Alat itu dibangunkan bersama oleh doktor haiwan dan pada mulanya diuji di sebuah ladang ternakan di Moscow.
Menurut Kementerian Pertanian dan Makanan di Moscow, hasil kajian mendapati ia ‘mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan emosi kawanan lembu. – AGENSI