PETALING JAYA – Nama selebriti versatil Ifa Raziah sekali lagi menuai perhatian ramai apabila tindakannya memakai perhiasan emas ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini dikecam netizen.
Tidak berdiam diri, Ifa yang tampil mempertahankan dirinya membidas kenyataan netizen dan menganggap kecaman tersebut sebagai sesuatu yang tidak berasas.
Ujarnya menerusi sebuah hantaran video dalam saluran YouTubenya, dia juga pelik mengapa isu pemakaian perhiasan emas yang menjadi perdebatan netizen.
“Orang mengata saya pakai gelang emas di Mekah. Apa salahnya saya pakai emas sepanjang berada di sana?
“Ini rezeki Allah SWT yang beri dan saya tunjuk pada-Nya ‘inilah emas yang kau beri dan kurniakan kepada aku’. Perkara ini tak sepatutnya menjadi isu pun sebab ramai saja orang Arab di sana yang memakai perhiasan emas,” katanya.
Geram menjadi mangsa kecaman netzien, penyanyi lagu Ser…Ser…Ser…. itu turut melabel individu yang mengkritik tindakannya memakai perhiasan emas ketika beribadah sebagai kurang waras.
“Pelik dengan mental dan pemikiran segelintir rakyat Malaysia, memang tak betul dan kurang waras.
“Setakat ini, saya tak pernah lagi jadi mangsa kecurian atau penyeluk saku sepanjang beribadah di Mekah mahupun Madinah. Semuanya Allah jaga dan tidak pernah hilang walau satu sen.
“Namun, yang hilang ialah akal orang Malaysia selepas melihat saya memakai emas sepanjang berada di sana,” katanya dengan nada geram.
Tidak cukup dengan itu, bekas peserta program Gegar Vaganza musim pertama itu turut menjelaskan sudah merujuk dengan golongan agamawan mengenai hukum memakai emas ketika beribadah.
“Aku pakai beg Louis Vuitton, jam tangan jenama Rolex dan gelang emas. Semua itu Allah yang beri pada aku, kau ikut mazhab mana sampai tak boleh pakai semua itu.
“Saya juga telah merujuk kepada ustaz tentang perkara ini dan tiada satu pun hadis yang mengatakan haram bagi wanita memakai emas untuk bersolat mahupun melakukan apa-apa ibadah yang berkaitan dengan umrah atau haji.
“Malah ibadah yang dilakukan juga tidak terbatal hanya kerana memakai emas kerana yang paling penting ialah bersih, suci dan bukan datang dari sumber yang diragui,” tuturnya.
Dalam pada itu, Ifa turut menyelar sikap sesetengah individu yang suka menabur persepsi buruk terhadapnya.
“Apa masalah hidup anda? Sebab anda tiada emas dan sebab itu mula mengata saya. Janganlah dengki dengan apa yang saya ada.
“Di sana, orang arab pakai emas lagi banyak, ada yang buat tali pinggang, tiada masalah pun.
“Saya pakai emas bukan nak riak tetapi nak tunjuk pada-Nya, ini Dia yang berikan. Cuma tak mampu nak bawa banyak sebab banyak prosedur nak dilakukan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, perkongsian beberapa keping foto milik Ifa sepanjang tempoh menunaikan ibadah umrah Disember tahun lalu mengundang rasa kurang senang netizen apabila ada yang mendakwa dia berlebihan dalam memakai perhiasan emas. – K! ONLINE