TAIPING – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan termasuk ambulans di Kilometer 229.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, tengah malam tadi.
Nahas sekitar pukul 12 tengah malam itu mengorbankan Muhammad Syahmi Ishak, 21, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori.
Katanya, pelanggaran tersebut mengakibatkan kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kanan dan terhenti di lorong kanan.
“Sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu lelaki berusia 46 tahun yang juga memandu di lorong kanan telah melanggar kereta mangsa sebelum berpusing dan melanggar sebuah ambulans yang bergerak di lorong kiri.
“Empat buah kenderaan lain iaitu Volkswagen, Perodua Axia, Honda City dan Honda Civic yang memandu di lorong kanan turut bergesel dengan kenderaan mangsa namun pada waktu berbeza,” katanya di sini hari ini.
Menurut Osman, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
“Kenderaan terlibat telah dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE