KLANG – Ahli Parlimen Julau, Sarawak iaitu Larry Sng Wei Shien diumumkan sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu ini.
Beliau menyandang jawatan itu hasil mesyuarat khas persidangan agung parti tersebut yang diadakan hari ini.
Larry Sng berkata, mesyuarat tersebut bagi adalah susulan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selaras perlembagaan PBM berikutan peletakan jawatan pemegang-pemegang jawatan utama.
“Mesyuarat hari ini telah dihadiri perwakilan dan pemerhati berdaftar dari seluruh negara.
“Hasil daripada pemilihan saya dipilih sebagai Presiden PBM manakala Haniza Mohamed Talha (Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya) dipilih sebagai Timbalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Parti yang diasaskan Parti Pekerja Sarawak (SWP) itu sebelum ini dipimpin Mohamad Sukri Yusri sebagai presiden, manakala Larry Sng sebagai timbalan presidennya.
Sebelum ini, media melaporkan desas-desus Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin akan dilantik menjadi Presiden parti tersebut.
Mengulas lanjut, Larry Sng berkata, PBM menyatakan hasrat mendokong kepimpinan kerajaan pusat hari ini.
“Kami juga berusaha keras memastikan agenda PBM dalam mengangkat hasrat pelbagai kaum dan berbilang bangsa di Malaysia dapat dilaksanakan selepas ini,” katanya. -K! ONLINE