BERLIN – Syarikat pengeluar kenderaan Jerman, BMW memperkenalkan konsep inovatif pada Pameran Elektronik Pengguna (CES), di Las Vegas menerusi ‘kenderaan bertukar warna’ pertama di dunia, lapor laman berita Wion News.
Kereta yang dinamakan l BMW iX Flow itu menggunakan teknologi dakwat elektronik untuk mengubah bahagian luar kereta itu kepada corak berbeza dalam warna kelabu dan putih.
“Ini adalah perubahan warna yang cekap tenaga menggunakan teknologi dakwat elektronik E Ink.
“Oleh sebab itu, kami menggunakan bahan ini. Ia adalah sejenis kertas tebal dan cabaran kami adalah untuk melekatkannya pada objek tiga dimensi (3D) seperti kereta,” kata Jurutera penyelidik BMW, Stella Clarke.
Menariknya, perubahan warna pada kereta itu boleh dikawal menerusi aplikasi telefon pintar.
Apabila isyarat elektrik dirangsang, bahan itu muncul dengan pigmen yang berbeza pada permukaan, mengakibatkan perubahan warna pada kereta itu berlaku.
Ia boleh menghasilkan corak berjalur atau warna-warna lain.
Menurut BMW, tiada janaan kuasa yang diperlukan untuk mengekalkan warna yang dipilih pemandu.
“Kegemaran saya ialah penggunaan warna untuk mempengaruhi pantulan cahaya matahari.
“Pada hari panas dan cerah, anda boleh menukar kepada warna putih untuk memantulkan cahaya matahari manakala pada hari yang sejuk pula, anda boleh menggunakan warna hitam untuk menyerap haba,” kata Clarke. – AGENSI