KEMAMAN – Penduduk Kampung Teluk Kalong di sini gempar apabila seorang lelaki dipercayai penagih dadah mengamuk dengan bersenjatakan sebilah pisau di perkampungan berkenaan pada Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, suspek berusia 27 tahun tersebut mengamuk dipercayai berang apabila gagal mendapat bekalan dadah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Ramlan Hanyan berkata, sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menenangkan keadaan sebelum memberkas lelaki itu.
“Sewaktu mengamuk, suspek memegang sebilah pisau berukuran 12 inci. Anggota polis terlibat berjaya merampas senjata itu sebelum menahan dia.
“Hasil soal-siasat awal, suspek mengaku mengaku mengamuk kerana tertekan sukar mendapat bekalan dadah bagi mengatasi ketagihannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis metampitamine.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan. – K! ONLINE