fbpx

‘Budak nakal’ bola sepak Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARSENAL muncul pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama yang mengutip 100 kad merah dalam sejarah pertandingan liga paling prestij di benua Eropah itu.

Rekod buruk itu tercatat selepas bek tengah Brazil, Gabriel dilayangkan kad merah ketika Arsenal tewas 1-2 kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates pada Sabtu lalu.

Pasukan kedua EPL paling banyak mengutip kad merah pula ialah Everton dengan 99 diikuti Newcastle United di tangga ketiga (90), Chelsea (82) dan West Ham (77) melengkapkan kelompok lima teratas.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Sergio Ramos juga mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain paling banyak menerima kad merah dalam kancah lima liga terbaik Eropah.

Ruangan Kolum Fakta Kosmo! minggu ini menyenaraikan lapan pemain dengan layangan kad merah terbanyak dalam sejarah bola sepak berdasarkan statistik daripada laman sesawang Transfermarkt.

MATUZALEM

Tarikh lahir: 10 Jun 1980
Negara: Brazil
Posisi: Tengah
Jumlah kad merah: 13
Kelab: Napoli, Piacenza, Parma, Brescia, Shakhtar Donetsk, Real Zaragoza, Lazio, Genoa, Bologna, Hellas Verona, Miami FC, Monterosi Tuscia

Ringkasan:
PEMAIN yang memulakan kariernya pada lewat 90-an ini gemar beraksi dalam saingan Serie A yang terkenal dengan terjahan-terjahan keras dan corak permainan kasar.

Walaupun sering dibuang padang tetapi Matuzalem tidak terlepas untuk merasai kejuaraan seperti menjuarai Piala Coppa Itali dan Piala Super Itali dengan Lazio serta dua gelaran Liga Perdana Ukraine bersama Shakhtar.

GIAMPIERO PINZI

Tarikh lahir: 11 Mac 1981
Negara: Itali
Posisi: Tengah
Jumlah kad merah: 14
Kelab: Lazio, Udinese, Chievo, Brescia, Padova

Ringkasan:
PINZI boleh dianggap legenda Udinese selepas beraksi selama 15 musim bersama pasukan tersebut selain berjaya membantu kelab Le Zebrette itu dinobatkan sebagai juara Eropah sebagai pemenang Piala Intertoto pada 2000.

Bagaimanapun, Pinzi yang pernah beraksi bersama Alexis Sanchez, juga pernah berdepan detik sukar dalam kariernya apabila dilayangkan kad merah sebanyak 13 kali ketika bersama Udinese selain sekali sewaktu menyarung jersi Chievo.

SULLEY MUNTARI

Tarikh lahir: 27 Ogos 1984
Negara: Ghana
Posisi: Tengah
Jumlah kad merah: 14
Kelab: Udinese, Portsmouth, Inter Milan, Sunderland, AC Milan, Ittihad, Pescara, Deportivo La Coruna, Albacete

Ringkasan:
MUNTARI merupakan antara watak penting dalam skuad Inter ketika menjuarai gelaran trebel dengan memenangi kejuaraan Serie A, Piala Coppa Itali dan Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Jose Mourinho pada musim 2009/2010.

Kehebatan Muntari bagaimanapun sering dicemari dengan insiden pergaduhan dan kekasaran di atas padang menyebabkannya diarahkan keluar padang sebanyak 12 kali sepanjang bermain di Itali dan dua kali ketika mewakili Portsmouth.

ZLATAN IBRAHIMOVIC

Tarikh lahir: 3 Oktober 1981
Negara: Sweden
Posisi: Penyerang
Jumlah kad merah: 14
Kelab: Malmo, Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, PSG, Manchester United, LA Galaxy, AC Milan

Ringkasan:
PENYERANG prolifik ini tidak diragui lagi adalah antara pemain paling banyak memenangi kejuaraan bersama kelab-kelab diwakilinya selain meraih pelbagai anugerah individu.

Walaupun memegang status sebagai penjaring terbanyak buat skuad kebangsaan Sweden tetapi sikap panas barannya menyaksikan dia dibuang padang sebanyak 14 kali dalam karier kelab dan antarabangsa.

GONZALO RODRIGUEZ

Tarikh lahir: 10 April 1984
Negara: Argentina
Posisi: Pertahanan tengah
Jumlah kad merah: 15
Kelab: San Lorenzo, Villarreal, Fiorentina

Ringkasan:
KETIKA mewakili Villarreal, pemain dengan tujuh kaps antarabangsa Argentina ini pernah dilayangkan kad merah sebanyak lapan kali sepanjang sembilan musimnya di Sepanyol.

Perpindahannya ke kancah bola sepak Itali tetap tidak mengubah nasibnya apabila dia dibuang padang empat kali bersama Fiorentina dalam saingan Serie A selain menerima tiga lagi kad merah sewaktu beraksi dalam saingan Liga Europa.

PHILIPPE MEXES

Tarikh lahir: 30 Mac 1982
Negara: Perancis
Posisi: Pertahanan tengah
Jumlah kad merah: 16
Kelab: Auxerre, AS Roma, AC Milan

Ringkasan:
BEK kental di bahagian tengah ini sering menjadi sasaran penyerang-penyerang pasukan lawan yang cuba melakukan provokasi ke atasnya supaya dia dilayangkan kad kuning ataupun merah dalam mana-mana perlawanan.

Walaupun Mexes pernah mengutip 11 kad merah sepanjang mewakili Roma dari 2004 hingga 2011, namun ia tidak menghalang EA Sports untuk meletakkan wajahnya menghiasi kulit permainan FIFA 12.

THIAGO MOTTA

Tarikh lahir: 28 Ogos 1982
Negara: Itali
Posisi: Tengah
Jumlah kad merah: 16
Kelab: Barcelona, Atletico Madrid, Genoa, Inter Milan, PSG

Ringkasan:
ARKITEK tengah yang dilahirkan di Sao Paolo, Brazil ini menikmati karier cemerlang dan boleh dikatakan telah memenangi hampir kesemua trofi yang dipertandingkan di Eropah.

Begitupun, Motta juga tidak lari daripada menerima kad merah apabila dibuang padang sebanyak 16 kali, namun ia sama sekali tidak menghalangnya daripada bergelar ketua jurulatih Genoa dan kini bersama Spezia.

SERGIO RAMOS

Tarikh lahir: 30 Mac 1986
Negara: Sepanyol
Posisi: Pertahanan tengah
Jumlah kad merah: 27
Kelab: Sevilla, Real Madrid, PSG

Ringkasan:
NAMA Ramos sudah sinonim dengan kad merah apabila dia mendahului carta kutipan kad merah terbanyak dalam sejarah lima liga terbaik Eropah dengan 27 jumlah keseluruhan.

Ramos juga hanya mengambil masa tiga perlawanan bersama PSG untuk mengutip kad merah pertamanya selepas dia pernah dibuang padang sebanyak 26 kali ketika mewakili Real.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI