KUALA LUMPUR – Pelakon Anzalna Nasir sanggup menolak tawaran menjadi duta produk tudung jenama lain demi terlibat dengan kempen Loveta X Anzalna yang sebelum ini diusahakan oleh Allahyarham Siti Sarah.
Menurut Anzalna, semasa hayat masih ada, Siti Sarah pernah beberapa kali mahu melamarnya untuk bekerjasama dengan produk kosmetik keluarannya.
Namun, hasrat berkenaan tidak kesampaian sehinggalah penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempat Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.
“Arwah Siti Sarah pernah beberapa kali memberi tawaran untuk bekerjasama, tetapi tidak berkesempatan kerana setiap kali tawaran dibuat saya mesti ada kontrak dengan produk kosmetik lain.
“Tawaran kali ini memang saya tidak boleh tolak, meskipun saya sebenarnya telah menerima tawaran daripada produk tudung jenama lain saya terpaksa menolak tawaran tersebut demi menjadi sebahagian daripada Loveta,” kongsi Anzalna.
Tambah Anzalna, hatinya terbuka untuk bekerjasama dengan kempen Loveta X Anzalna kerana mahu membantu mengembangkan legasi yang ditinggalkan oleh arwah Siti Sarah.
Sungguhpun begitu, Anzalna mengambil masa dan berbincang dengan suaminya, Hanif Zaki terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menerima tawaran berkenaan kerana sedar akan tanggungjawab besar yang digalas bagi menggantikan arwah Siti Sarah yang sebelum ini merupakan pemilik serta wajah kepada produk Loveta.
“Mulanya agak sukar untuk saya menerima lamaran ini. Jujur saya ambil masa sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan perniagaan yang selama ini diusahakan oleh arwah Siti Sarah.
“Arwah meninggalkan legasi yang cukup besar ketika hayatnya. Jadi saya bimbang jika kehadiran saya akan dimarahi oleh peminat beliau.
“Namun, syukur rata-rata menyambut baik dan gembira dengan pengumuman yang dibuat. Saya berharap kehadiran saya akan membawa jenama Loveta ke peringkat yang lebih tinggi,” tutur Anzalna.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ratasya Empire (M) Sdn. Bhd., Siti Fatimah Suberi yang juga ibu tiri Siti Sarah mendedahkan, pihaknya hanya meneruskan hasrat arwah yang mahukan Anzalna sebagai wajah jenama berkenaan.
“Ketika mengadakan perbincangan memang ada beberapa nama artis lain, namun Anzalna adalah pilihan pertama dan saya terus bertanya kepadanya tanpa pergi kepada artis yang lain terlebih dahulu.
“Selain meneruskan hasrat arwah, pemilihan Anzalna ialah hasil persetujuan semua pihak dalam syarikat dan dialah orang yang tepat untuk kempen terbaharu ini,” ujar Siti Fatimah.
Menerusi kempen Loveta X Anzalna, Loveta memperkenalkan Anzalna Shawl yang merupakan shawl semi instant tampil dengan 11 koleksi warna menarik. – K! ONLINE