KUALA LUMPUR – Akibat marah mengambil gambar tapak kedai dipercayai punca seorang lelaki diserang hingga cedera oleh individu lain di pasar pagi OUG Jalan Hujan Rahmat, Taman OUG dekat sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 58 tahun telah dicederakan oleh suspek apabila mangsa mengambil gambar tapak niaga milik suspek sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.
“Suspek yang berusia 53 tahun didakwa telah mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa telah menyerang dan menendangnya di bahagian belakang badan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan suspek juga sudah ditahan.
Dalam pada itu, katanya, seorang lagi suspek iaitu seorang wanita berusia 48 tahun juga dikesan mungkin terlibat dalam kes tersebut dan akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera,” ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 45 saat memaparkan tindakan seorang lelaki dilihat dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas seorang lelaki lain tular di laman sosial. – K! ONLINE