JOHOR BAHRU – Sebanyak 31 buah sekolah di negeri ini tidak akan dapat menjalani sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula esok kerana masih terkesan akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, daripada jumlah itu, 23 buah sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara selebihnya masih dinaiki air.
Katanya, PPS yang dibuka itu melibatkan masing-masing lapan buah sekolah di Segamat dan Tangkak, lima sekolah di Muar dan dua sekolah di Batu Pahat.
“Sebelum ini, sebanyak 46 buah sekolah di negeri ini dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terkesan akibat banjir. Dalam keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.
“Bagi sekolah yang masih dijadikan PPS, ia tidak akan beroperasi esok dan akan kekal menjadi PPS sehinggalah isu banjir ini selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Festival Permainan Tradisional, di sini hari ini.
Sebanyak 1,184 buah sekolah di negeri ini dijadualkan menjalani Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022, esok mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Mengulas lanjut, sekolah yang dinaiki air yang melibatkan empat buah sekolah di Tangkak, tiga buah sekolah di Segamat dan sebuah sekolah di Muar juga tidak akan memulakan sesi persekolahan esok.
Jelasnya, sesi persekolahan bagi lapan buah sekolah yang terjejas itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.- K! ONLINE